Monday 8 August 2011

Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Kuala Kangsar

Masjid lama Kampung Kuala Dal terletak di Mukim Padang Rengas, daerah Kuala Kangsar Perak. Masjid Lama Kampung Kuala Dal telah dibina oleh Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 pada tahun 1936. Berdasarkan pahatan tulisan yang terdapat pada papan plag perasmian, masjid ini dirasmikan pada hari Jumaat tanggal 10 Zulhijjah pada tahun 1356 Hijrah bersamaan dengan 11 Februari 1938 oleh Sultan Iskandar Syah. Masjid ini telah dibina oleh Sultan Iskandar Syah pada masa itu bersempena menunaikan hajat baginda. Baginda Sultan telah berniat atau bernazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang daripada anakanda baginda telah sembuh dari gering. Lokasi Kampung Dal menjadi pilihan kerana baginda dan para pembesar serta kerabat Diraja sering pergi berkelah di Lata Bubu iaitu kawasan perkelahan Diraja yang berhampiran dengan kampung tersebut. Di dalam perjalanan baginda sering melihat orang-orang kampung tersebut bersembahyang di madrasah yang telah usang. Maka lahirlah rasa belas kasihan baginda terhadap penduduk setempat, dengan itu masjid yang telah siap dibina itu dinamakan Masjid Ikhsaniah Iskandariah.

Masjid yang dibina dengan wang ihsan daripada Sultan Iskandar Syah itu menelan belanja sebanyak RM 8,000 dan telah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan secara lisan oleh seorang bangsawan iaitu Juragan Abdul Syukur bin Mohamad Ali. Pembinaan masjid ini diketuai oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh orang-orang kampung tersebut secara bergotong-royong di dalam menyiapkan kerja-kerja mengayam dinding tepas atau kelarai dan ukiran kayu. Tukang kayu mahir seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah adalah diantara Sembilan individu yang turut menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka semasa pembinaan masjid dijalankan. Masjid ini mempunyai ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan dikatakan daripada hasil ilham baginda Sultan sendiri.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras. Tingkat atas digunakan sebagai ruang bersolat. Terdapat ruang mihrab yang mengujur keluar mengadap kiblat. Tingkat bawah dijadikan ruang untuk aktiviti keagamaan masyarakat kampung seperti kelas mengaji Quran dan kenduri. Bangunan ini disokong dengan lapan batang tiang daripada kayu ‘kempas’. Setiap tiang berlapikkan batu alas 50mm ( 1’6” ) yang dikonkritkan bersama lantai simen. Masjid yang berdindingkan panel-panel kelarai buluh dengan corak berlian atau rubus. Masyarakat tempatan menyebutkan corak ’tiga’ kerana terdapat tiga lingkaran kelarai. Dinding kelarai dikenali juga sebagai dinding tepas. Setiap panel kelarai diperkukuhkan dengan palang kayu yang dihiasi corak ‘tampuk manggis’ daripada kayu dipersilangan palang. Pelan lantai berbentuk segiempat dan dinding dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut pembahagian tiang. Di keempat-empat penjuru masjid terdapat seolah-olah empat menara terkeluar daripada dinding. Ruang- ruang yang terkeluar itu berbentuk segi empat tepat yang berukuran (3’ x 3’). Bumbung masjid ini berbentuk limas bungkus dengan bahan zink yang merupakan bahan yang esklusif pada masa itu.

Di tingkat atas dewan solat menggunakan tingkap labuh dengan dua daun pintu dan berpagar, untuk pengudaraan dan pencahayaan. Setiap tingkap berdaun dua dihiasi kerawang ukiran “tebuk terus tidak bersilat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Semua ragam hias ini dibuat oleh penduduk tempatan. Penggunaan kayu silang atau corak jejala terdapat di bahagian atas dinding kelarai, manakala di atas tingkap terdapat ram kayu tetap (sisip angin) untuk pengudaraan. Keseluruhan bahagian siling adalah terdiri daripada papan. Di tingkat bawah, dinding panel kelarai diselang-selikan dengan tingkap dua daun. 
 
Pada Disember 2008, Jabatan Warisan Negara di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Projek pemuliharaan telah disiapkan sepenuhnya pada Ogos 2009. Pemuliharaan masjid ini merupakan satu usaha Jabatan Warisan Negara untuk melindungi dan memulihara khazanah warisan untuk tatapan generasi alaf globalisasi.
 
Dipetik dari: http://kota-city.blogspot.com/2010/03/pemuliharaan-masjid-lama-kampung-kuala.html

No comments:

Post a Comment