Wednesday 17 August 2011

Memperkasakan semula warisan Perak

UTUSAN MALAYSIA 14/08/11

Oleh Talib Samat (dr.talibsamat@yahoo.com)

BARU-BARU ini telah berlangsung Bicara Warisan Perak yang turut dihadiri oleh Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan.

Acara itu menampilkan dua orang pembicara iaitu Dr.S.Suryadi dari Universiti Leiden, Belanda dan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim dari Universiti Malaya.

Bicara Warisan Perak yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Dr. Zambery Abdul Kadir ini dilihat penting dan signifikan dalam memperkasakan semula warisan negeri Perak sama ada yang terdapat di negeri Perak mahupun yang bertaburan di luar negara khususnya di Universiti Leiden, Belanda yang dibawa oleh penjajah barat semasa operasi penjajahan mereka dahulu. Acara begini sangat penting dalam mengembalikan kesedaran rakyat terhadap pelbagai bahan sejarah dan ilmu yang terdapat di luar negara yang perlu diperoleh semula salinannya untuk tatapan generasi kini agar tidak buta sejarah agung bangsa mereka sendiri.

Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Aminudin Hashim berkata, "Di muzium-muzium dan pusat-pusat pengajian tinggi di Portugal, Belanda, Sepanyol dan England tersimpan ribuan artifak yang mengungkapkan epistemologi Melayu. Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca kepada lebih 300 juta orang pengguna tentulah menghasilkan segala macam produk cendekiawan di sepanjang koridor sejarah bangsa yang berusia lebih 1,400 tahun. Lalu ia bukan saja menghimpunkan hasil seni dan budaya bangsa, malahan merupakan kompendium bagi setiap subjek yang meletakkan keabsahan bangsa Melayu di wilayahnya."

Beliau juga menyarankan, sumber-sumber sejarah seperti manuskrip-manuskrip sastera rakyat, sastera sejarah dan warkah-warkah Raja Perak yang tersimpan di Universiti Leiden misalnya boleh diterbitkan semula dengan pengantar yang akademik dan analitikal oleh para sarjana dan penyelidik. Malah boleh menyorot aspek historiografi. Dengan demikian kita dapat menelusuri tasawur bangsa Melayu yang meliputi berbagai pengetahuan, dalam hal dunia dan akhirat, zahir dan batin.

Dr.S.Suryadi dalam pembentangannya bertajuk Koleksi Perak di Universiti Leiden: Dari Perspektif Antropologi Budaya menampilkan pelbagai maklumat tentang koleksi berkaitan negeri, kesultanan negeri Perak yang banyak terdapat di Perpustakaan Universiti Leiden. Ini perlu diteroka dan dibuat salinannya untuk perpustakaan di Malaysia khususnya di Perak seperti Muzium Pendidikan Nasional di UPSI.

Klasik

Dr.S.Suryadi yang berasal dari Pariaman, Padang, Sumatera Barat, Indonesia bertugas sebagai penganalisis dan pensyarah di Universiti Leiden. Bidang keahliannya adalah sastera Indonesia klasik dan moden, lisan dan budaya media. Beliau sudah menetap selama 13 tahun di Leiden, Belanda dan tentunya sangat arif dengan pelbagai koleksi Melayu dan Indonesia yang terdapat di sana untuk dijejaki oleh para sarjana sastera, penyelidik, dan mereka yang berminat dengan warisan Melayu sama ada tentang negeri Perak dan negeri-negeri lainnya.

Dalam pembentangannya Dr.S.Suryadi menayangkan gambar-gambar lama yang cukup klasik yang berkaitan dengan negeri Perak tersimpan elok di Universiti Leiden.

Di antara gambar yang klasik itu termasuklah Salasilah Perak (Cod or.7645) setebal 69 halaman, makyung (1903), tarian mundo (1903), banjir 1880 di Kuala Kangsar, gambar lombong bijih timah 1910, Taiping (1910), jalan asal di sekitar istana Kuala Kangsar dan pelbagai gambar lagi yang tidak pernah dilihat dalam mana-mana perpustakaan atau muzium. Gambar-gambar ini amat menarik dan berguna dalam mentafsirkan peristiwa-peristiwa zaman lampau yang berlaku di Perak dan kaitannya dengan peristiwa sekarang di Perak.

Beliau menyebutkan juga mengenai pelbagai warkah Sultan Perak, isu bijih timah dan sebagainya yang tersimpan elok di Universiti Leiden menunggu kunjungan para sarjana, penyelidik, penulis Perak untuk membuat kajian tentang aspek itu. Tetapi kurang diberi perhatian dan kesedaran untuk mencungkil semula bagi dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia khususnya di Perak.

Sarjana Inggeris, Maxwell misalnya begitu banyak mengkaji salasilah raja-raja Melayu untuk tujuan tersirat sesuai dengan sifat penjajah mereka untuk menakluk satu demi satu negeri-negeri Melayu di sekitar abad ke-18 dan ke-19. Hal ini memberi pengertian juga orang-orang Melayu wajar mengetahui susur galur keturunan mereka sama ada besar atau kecil kerana ia adalah sumber ketuanan bangsa Melayu di negara ini.

Manakala Khoo Kay Kim pula mengatakan tentang keunikan negeri Perak yang mempunyai pelbagai suku kaum Melayu, Cina , India dan sebagainya. Suku kaum Melayu yang mendiami negeri Perak seperti Banjar, Rawa, Mandailing, Jawa, Patani dan sebagainya mempunyai sejarah yang tersendiri yang memberikan warna tertentu kepada budaya, sejarah dan bahasa di negeri Perak.

Katanya, apabila pengambilan penuntut sejarah di Universiti Malaya yang semakin mengecil sekarang ini tentu memberi kesan besar kepada pengajian sejarah pada masa depan. Ini kerana dasar kerajaan sendiri yang lebih mengutamakan bidang sains dan teknologi untuk menjadi negara maju walhal Amerika Syarikat yang begitu maju mewajibkan pengajian sejarah di kalangan rakyatnya.

Beliau juga menimbulkan isu semakin mengecilnya peruntukan untuk geran penyelidikan sejarah negara berbanding bidang sains dan teknologi walhal sejarah sangat penting dalam membina jati diri bangsa, patriotisme dan kesetiaan kepada negara.

Sejarah

Khoo Kay Kim menggariskan ciri-ciri penyelidik dan penulis sejarah yang perlukan ialah kerajinan luar biasa untuk membaca, mengkaji, menyelongkar bahan-bahan lama yang tersimpan di arkib, muzium, perpustakaan di dalam dan luar negara, koleksi peribadi, artifak-artifak lama dan sebagainya.

Kesimpulannya Bicara Warisan Perak sangat penting dalam membina, memperkasakan dan menyedarkan masyarakat tentang warisan Perak yang bertaburan di universiti tertentu luar negara seperti di Universiti Leiden yang perlu diteroka oleh sarjana, penulis, sasterawan dan kerajaan Perak.

Sehubungan dengan itu perlunya dibentuk pasukan penyelidik, barisan pelapis pasukan penyelidik daripada generasi kini untuk membolehkan perjuangan menyelidik, mengkaji dan mentafsirkan warisan Perak atau negara itu sentiasa hidup dan berterusan. Sikap prihatin dan memandang jauh Institut Darul Ridzuan dan kerajaan negeri Perak hari ini tentunya lebih baik daripada kerajaan sebelumnya dalam memperkasakan dan menghargai warisan dan Perak.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm

No comments:

Post a Comment